Tuesday, November 18, 2008

Analisis Bahagian C dan D

Analisis bahagian C dan D

Bagi bahagian kedudukan pihak berkuasa tempatan di Lembah Klang, daripada data yang telah diperoleh dan dianalisis, kami mendapati bahawa rata-rata responden memilih pihak berkuasa tempatan Putrajaya dan Cyberjaya adalah pada kedudukan yang paling atas. Hal ini adalah kerana, kawasan Putrajaya dan Cyberjaya dilihat sebagai bandar yang paling efisien dan berada pada tahap yang paling memuaskan. Kedudukan ini disusuli dengan pihak berkuasa tempatan di Shah Alam yang dilihat masih boleh dibanggakan dan efisien. Seterusnya, pihak berkuasa tempatan Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Subang Jaya,dan Sepang. Bandar-bandar ini juga berada pada tahap yang agak memuaskan dan menunjukkan kecekapan pihak berkuasa tempatan dalam menjalankan tugas. Kemudian, ia disusuli dengan pihak berkuasa tempatan Ampang Jaya, Klang, Kajang, Selayang, Banting, Kuala Kubu Baru dan akhir sekali Kuala Selangor. Kuala Selangor dilihat paling tidak efisien berdasarkan kepada kemudahan yang masih tidak lengkap, persekitaran yang tidak sempurna dan masalh-masalah lain yang dilihat masih banyak untuk diperbaiki. Oleh itu, ini memperlihatkan pihak berkuasa tempatan Kuala Selangor harus menjalankan tugas dengan lebih cekap untuk mengatasi masalah yang melanda penduduk di kawasan tersebut. Kedudukan Kuala Selangor yang agak terpencil di kawasan Lembah Klang juga menyebabkan tidak banyak pembangunan yang dapat dijalankan.


Bagi data tahap keefisienan bandaraya Kuala Lumpur, daripada kajian yang telah dijalankan ke atas responden kami di kawasan kajian, iaitu Shah Alam, kami mendapati bahawa persepsi mereka terhadap tahap keefisienan bandar Kuala Lumpur adalah baik dan perlu dipertingkatkan lagi. Masalah-masalah yang dilihat terdapat di sana adalah seperti kesesakan jalan raya, peningkatan pendatang asing dan pembangunan yang terlalu padat. Kebanyakan responden melihat Kuala Lumpur sebagai bandar yang sangat membangun dari segi infrastruktur dan pembangunan. Oleh itu, tahap keefisienan bandar Kuala Lumpur adalah sangat memuaskan kerana kemudahan-kemudahan yang terdapat di sana adalah mencukupi mengikut keperluan yang diperlukan oleh penduduk setempat. Selain itu, Kuala Lumpur dilihat sebagai pusat kemajuan Malaysia sebagai ibu negara Malaysia dalam menarik minat pelancong untuk melawat Malaysia di samping para pelabur untuk melabur di Malaysia. Namun, masalah-masalah yang masih terdapat di Kuala Lumpur haruslah ditangani agar dapat melambangkan sebuah bandar yang begitu maju dan membangun. Pihak berkuasa tempatan Kuala Lumpur harus mengambil perhatian terhadap masalah kesesakan jalan raya yang melanda Kuala Lumpur di samping masalah lain seperti kemasukan pendatang asing yang banyak ke kawasan tersebut. Hal ini adalah kerana, Kuala Lumpur sering dilihat menghadapi masalah kemasukan pendatang asing yang banyak sehingga mendatangkan ketidakselesaan kepada penduduk setempat khususnya pada waktu hujung minggu. Ini sekali gus mendatangkan masalah kepada warga tempatan khususnya yang ingin membawa keluarga bersiar-siar ke tempat tersebut kerana kawasan tersebut telah dihujani dengan ramai pendatang asing seperti negara mereka sendiri.

Bagi bahagian bab pengalaman yang dialami oleh responden sepanjang 5 tahun di kawasan kajian, kami mendapati bahawa kebanyakan penduduk di kawasan kajian iaitu Shah Alam mengalami masalah banjir, kesesakan jalan raya, pecah rumah, jenayah ragut dan masalah pengangkutan awam yang tidak cekap. Masalah banjir merupakan fenomena biasa yang sering melanda penduduk di kawasan Shah Alam dan negeri Selangor. Hal ini adalah kerana, rata-rata responden memberitahu bahawa sistem perparitan yang tidak sempurna menyebabkan masalah ini berlaku. Malah, sikap penduduk itu sendiri yang suka membuang sampah ke dalam longkang menyebabkan longkang tersumbat seterusnya menjadikan laluan air yang tidak sempurna dan mengakibatkan masalah banjir apabila hujan turun dengan lebat. Selain itu, Shah Alam juga mengalami masalah yang teruk dari segi kesesakan jalan raya terutamanya pada waktu-waktu kemuncak dan musim perayaan. Hal ini memberikan tekanan kepada penduduk kerana masalah ini masih berlarutan dan merupakan masalah utama di kawasan Shah Alam. Ini sekali gus menunjukkan ketidakefisienan kawasan Shah Alam itu sendiri. Manakala bagi masalah sosial seperti masalah pecah rumah dan kes ragut merupakan salah satu masalah yang sering terjadi di kawasan maju seperti Shah Alam yang padat dengan penduduk. Penduduk di kawasan Shah Alam juga menghadapi masalah pengangkutan awam yang tidak cekap apabila mereka menghadapi masalah untuk mendapatkan bas dan teksi. Malah pemandu teksi juga tidak menggunakan meter dalam setiap perjalanan yang dilakukan.
Dalam bahagian persepsi responden terhadap aspek bandar yang efisien, kami mendapati bahawa persepsi penduduk Shah Alam terhadap aspek bandar yang paling efisien ialah apabila kawasan mereka dilengkapi dengan banyak kemudahan asas yang sempurna. Kemudahan asas merupakan perkara penting dalam menentukan keefisienan sesuatu bandar. Kemudahan asas yang lengkap merupakan satu keperluan kepada semua manusia. Oleh itu, rata-rata responden memberikan aspek bandar yang paling efisien ialah kemudahan asas yang lengkap dari segi medan selera, taman rekreasi, pusat hiburan, kemudahan pengangkutan awam yang cekap dan kemudahan perkhidmatan pelanggan yang sempurna. Malah, penduduk juga turut menekankan aspek alam sekitar sebagai salah satu aspek bandar yang efisien. Hal ini adalah kerana, kemusnahan alam sekitar boleh memberikan kesan negatif kepada sesuatu bandar dan kepada manusia sebagai penduduk di muka bumi ini. Malah, pembangunan yang pesat di kawasan Shah Alam menunjukkan bahawa alam sekitar semakin dieksploitasi demi kemajuan bandar tersebut.

Manakala, persepsi responden kami bagi aspek bandar yang tidak efisien pula ialah rata-rata responden di kawasan kajian iaitu Shah Alam memberi persepsi bahawa aspek bandar yang tidak efisien adalah seperti kemudahan asas yang tidak lengkap, aspek persekitaran yang kurang memuaskan seperti persekitaran yang kotor dengan sampah sarap yang memberikan pemandangan yang tidak enak untuk dilihat. Selain itu, masalah kemasukan pendatang asing ke kawasan Shah Alam yang memberikan keadaan yang tidak selesa kepada penduduk setempat. Hal ini sekali gus telah menyebabkan masalah gejala sosial berlaku di kawasan tersebut seperti masalah ragut, pecah rumah dan kecurian yang berlaku sehingga penduduk berasa kurang selamat di kawasan sendiri. Responden juga memberi persepsi bahawa masalah yang melibatkan jalan raya juga adalah antara aspek bandar yang paling tidak efisien. Hal ini adalah kerana, penduduk merasakan bahawa masalah seperti kesesakan jalan raya, jalan berlubang dan jalan tidak rata adalah masalah utama yang sering terjadi di kawasan-kawasan maju yang padat dengan penduduk. Ini menjadikan masalah yang berhubung dengan jalan raya adalah yang paling tidak efisien bagi sesebuah bandar yang maju seperti kawasan Shah Alam.


Secara keseluruhannya, tahap keefisienan bandar di kawasan kajian kami iaitu Shah Alam, kami mendapati bahawa kawasan Shah Alam masih lagi pada tahap sederhana dan perlu dipertingkatkan lagi. Rata-rata responden berpendapat bahawa pihak berwajib iaitu pihak berkuasa tempatan perlu mengambil langkah yang efektif agar masalah yang berlaku di kawasan mereka dapat diselesaikan dengan segera. Responden menyatakan bahawa sistem pengurusan yang cekap mampu untuk menjadikan sesebuah bandar itu menjadi efisien. Malah, responden turut bersetuju sekiranya keefisienan bandar itu meliputi kemudahan asas yang mencukupi mengikut keperluan penduduk, jaringan pengangkutan yang cekap dan pengurangan masalah gejala sosial di kawasan mereka. Sekiranya Shah Alam ingin mencapai tahap keefisienan bandar yang tinggi, kawasan Shah Alam itu sendiri harus berubah menjadi lebih bagus dan masalah kekurangan yang terdapat di bandar tersebut dapat diatasi.

No comments: